OBJEKTIF & PENGENALAN



OBJEKTIF :

Diskusi Intelek ini bertujuan untuk:

i)        Memperkenalkan ketokohan Laksamana Cheng Ho sebagai teladan  pemerkasaan generasi muda khususnya dan masyarakat umumnya.
ii)      Menjadikan Laksamana Cheng Ho sebagai ikon generasi muda.
iii)    Mempertingkatkan kemahiran insaniah dan melestarikan budaya organisasi prestasi tinggi dalam kalangan mahasiswa.
iv)    Melahirkan mahasiswa  yang cemerlang, berkualiti dan berketerampilan tinggi.





    PENGENALAN :

Dalam era globalisasi yang semakin mencabar dewasa ini, mahasiswa terdedah kepada pelbagai gejala yang tidak sihat yang boleh meruntuhkan jati diri mahasiswa yang lemah. Jati diri yang lemah di dalam kalangan mahasiswa disebabkan oleh banyaknya individu yang tidak bermoral diangkat oleh mahasiswa sebagai idola mereka. Hal ini disumbangkan oleh kegagalan mahasiswa didedahkan dengan contoh yang baik.
Lantaran itu kami daripada Kelab Bimbingan Mahasiswa ingin mengangkat Laksamana Cheng Ho sebagai antara individu contoh yang selayaknya diangkat sebagai teladan hidup mahasiswa. Sehubungan dengan itu, kami telah merancang untuk mengadakan  Diskusi Intelek: Cheng Ho, China, Alam Melayu serta Perkaitannya (DINTCheng Ho).
Pengisian Program ini akan dikuatkan lagi dengan kerjasama daripada  Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD)  yang telah membuat kajian tentang sejarah negara China danLaksamana Cheng Ho selama empat tahun iaitu dari tahun 2007. Kerjasama ini menjadi tulang belakang keberkesanan program ini kerana ia menjadikan pengisian program ini sebuah pengisian yang menekankan skop ilmu yang luas dan mendalam melalui kaedah santai. Hal ini disumbangkan faktor pengalaman GPTD yang sudah cukup matang dan kaedah penyampaian yang santai sesuai dengan kehendak mahasiswa semasa.
Untuk pengetahuan, Laksamana Cheng Ho sebenarnya merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya sudah lama tercatat di dalam sejarah negara kita sejak zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dahulu. Namun begitu, terdapat banyak latar belakang dan sumbangan laksamana tersebut tidak dinyatakan secara terperinci. Oleh itu, DINT Cheng Ho ialah tempat untuk mendalami lagi kisah kehidupan beliau untuk diterapkan dalam jati diri mahasiswa sesuai dengan permintaan negara pada masa kini.
Selain itu juga, DINT Cheng Ho menjadi satu program yang dapat mempertingkatkan kemahiran insaniah dan melestarikan budaya organisasi prestasi tinggi dalam kalangan mahasiswa. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui program ini dirangka berdasarkan kepada objektif untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai ciri-ciri integriti seperti amanah, bertanggungjawab dan berketerampilan dalam sesuatu organisasi.